Duit Belanja Sally

Showing posts with label kucing terbiar. Show all posts
Showing posts with label kucing terbiar. Show all posts

27 Jan 2013

Anda mesti seorang pencinta kucing jika anda...

  • ...rela kongsi katil dan tidur bersama dengan kucing anda!
  • ...sanggup korbankan wang ringgit untuk memberinya makan!
  • ...tak boleh berlalu dan pergi begitu saja setelah terserempak dengan kucing-kucing tepi jalan dalam keadaan kelaparan, atau dalam keadaan yang amat kasihan!
  • ...memarahi golongan yang mendera kucing atau menganiaya kucing, atau setidak-tidaknya mengajar kanak-kanak agar bersikap lebih baik dalam memberi layanan terhadap kucing, bukan dengan menyepaknya, menendangnya atau menarik ekornya!
  • ...mencari penjaga yang benar-benar sukakan kucing jika ingin berpergian untuk beberapa ketika!
  • ...menyediakan bekalan kibbles dalam beg anda walau ke mana saja anda pergi supaya anda dapat memberi makan kepada kucing-kucing yang kelaparan apabila anda berjumpa dengan 'mereka' ini, tak kira di mana saja!
 
 
...dan macam-macam lagi yang anda akan lakukan untuk kucing anda atau demi keselamatan dan kebaikan kucing-kucing terbiar di luar sana!
 
Betul tak?
 
 
Saya kata betul sebab saya salah seorang daripadanya!  :)
 
 
Dan, beberapa minggu kebelakangan ni, saya suka menonton rancangan ini;
 
MUST LOVE CATS


 
Ditayangkan di National Geographic channel 553, rancangan ini banyak memberi saya kesedaran dan nilai moral yang baik di mana meskipun warga Amerika ini rata-rata non-muslim, namun sikap mereka dalam hal ini patut dipuji dan seharusnya dicontohi.
 
Dan saya memang perasan, masyarakat barat memang bersikap lebih prihatin terhadap kebajikan haiwan berbanding kita yang sedia Islam ini. Jadi di sini saya ingin bertanya, KENAPA?
 
Yup, saya akui, tidak semua yang dipaparkan dalam rancangan ini WAJIB kita tiru, seperti membuat tatu kucing di badan, mengadakan sebuah hotel khas untuk kucing bertaraf 5 bintang untuk mereka di mana kemudahannya setaraf dengan manusia, atau memberi layanan kepada mereka menyamai layanan untuk manusia, yang pada saya perkara-perkara ini tidak perlulah untuk kita ikuti memandangkan Islam tidak mengajar kita untuk menyamakan atau melebihkan taraf haiwan melebihi taraf manusia kerana haiwan dan manusia tidak setaraf dan sememangnya tidak akan setaraf! Manusia adalah sebaik-baik ciptaan dan haiwan tidak akan boleh menyamainya, apatah lagi menandinginya. Harap jelas akan hal ini.
 
Akan tetapi, jika kita perhatikan sudut positif dalam rancangan ini, kita akan dapati betapa masyarakat barat ini mempunyai moral dan akhlak yang amat terpuji berbanding masyarakat Melayu Islam di Malaysia ini. Ini kerana, saya sering menyaksikan di depan mata saya, tatkala saya keluar makan di restoran bahu jalan, atau pergi berjalan-jalan dan terserempak dengan kucing-kucing yang mengiau kelaparan, saya perhatikan rata-rata masyarakat Melayu yang kononnya mengaku beragama Islam langsung tidak peduli akan rintihan kucing-kucing ini yang datang berlegar-legar di kaki manusia demi mencari sesuap makanan!
 
KENAPA? Kenapa hati masyarakat Melayu Islam di Malaysia ini terlalu KERAS? Terlalu KEJAM? Sanggup membiarkan kucing-kucing jalanan ini mengiau kelaparan tanpa terdetik perasaan bersalah untuk berikhtiar dan memberinya makan? Atau sekurang-kurangnya mengusap-usap kepalanya?
 
Lebih malang lagi, ada satu ketika, saya melihat ada di antara makcik-makcik atau pakcik-pakcik yang bertudung dan berkopiah, bila datang je kucing-kucing jalanan ini ke meja mereka mengiau meminta makanan, terus dihalaunya kucing-kucing ini seolah-olah kucing-kucing ini teramat jijik pada pandangan mata mereka.
 
Ingin saja saya berkata pada makcik-makcik dan pakcik-pakcik ini seperti ini;
 
"Pakcik/makcik, kalau kucing kelaparan sebegini pun hati kamu tidak tersentuh untuk memberinya makan, bahkan dihalaunya pula seperti kucing kurap yang tidak berharga, rasanya lebih baik kamu buang saja kopiah yang kamu pakai tu. Makcik, tanggalkan saja tudung yang kamu pakai tu. Kamu tak layak menyarung pakaian islamik sebegitu kerana sikap kamu tak melambangkan seorang penganut Islam sejati. Sikap kamu terlalu jijik! Warga Amerika yang tidak Islam itu lagi mulia dan lagi Islam daripada kamu kerana Islam mengajar penganutnya bersikap IHSAN sesama makhluk!"
 
Saya fikir, masalahnya disebabkan persepsi yang salah dan silap tentang sikap ihsan ini. Rata-rata umat Islam hanya berfikir, ihsan ini lebih utama untuk sesama manusia. Jadi pada mereka, bersikap ihsan untuk makhluk lain, nak-nak haiwan seperti kucing ini, tak perlu diberi perhatian sangat. So sebab itu kebanyakan daripada golongan ini mengambil sikap tidak ambil peduli, atau langsung tak hiraukan tatkala kucing-kucing ini mengiau kepada mereka meminta makanan. HATI tu dah jadi KERAS macam batu si Tanggang gamaknya, langsung tiada perasaan belas kasihan!
 
Saya memang emosi. Geram ni! Geram sesangat!!!
 
So di sini, saya nak BERI PERINGATAN dekat manusia yang hatinya keras ini.
 
Agak-agaknya mereka ini lupa kot, betapa bersikap ihsan meskipun terhadap haiwan mempunyai nilai pahala dan ganjaran yang teramat besar di sisi Allah SWT?
 
Agak-agaknya mereka ini lupa untuk mengambil pedoman dan pelajaran tentang satu peristiwa di mana seorang PELACUR DIMASUKKAN ke dalam SYURGA hanya kerana memberi minum seekor anjing yang kehausan. Hai, takkan tak tahu peristiwa ini? Atau sengaja buat-buat lupa?
 
Agak-agaknya golongan sebegini tak pernah baca atau buat-buat tak faham betapa Nabi SAW kerap kali mengingatkan status haiwan bernama kucing ini adalah haiwan yang suci bersih dan tidak najis kerana ia haiwan yang sentiasa berkeliaran di sekeliling rumah. Bahkan terdapat hadith yang mengatakan bahawasanya bekas jilatan kucing adalah tidak najis pada air dan makanan yang dimakan, sehinggakan Nabi SAW pernah mengambil wudhu' daripada air bekas jilatan kucing, sementara Siti Aishah r.a pula pernah memakan bubur yang telah dimakan separuh oleh kucing yang berkeliaran di rumahnya, di mana Siti Aishah cuma membuang sebahagian bekas jilatan kucing terbabit, lalu memakannya seperti biasa.
 
Nak tambah lagi?
 
Agak-agaknya golongan sebegini berotak lembab sangat kot, malas membaca, sebab tu asyik ingat kucing ni najis. Bahkan mereka ini amat kasihan sebab tidak tahu betapa fakta klinikal menunjukkan bahawasanya kucing adalah satu-satunya haiwan yang paling bersih dan paling sedikit kuman dan bakterianya berbanding lain-lain haiwan di dunia ini, bahkan kita yang manusia ini lebih banyak kandungan kuman dan bakteria di dalam badan berbanding kucing!
 
Apa lagi nak tambah yek?
 
Bukan apa, payah sangat nak ajar ummah Melayu yang mengaku Islam ini agar lepas ni bersikap lebih prihatin terhadap haiwan lepas ni. Tolong didik diri tu untuk saling menghargai dan menyayangi haiwan-haiwan ini, terutamanya kucing kerana Nabi SAW telah beberapa kali terserempak dengan Abu Hurairah yang kerjanya selalu memberi makan pada kucing-kucing terbiar, dan ada sekali tu Nabi SAW bertanya pada Abu Hurairah lebih kurang begini;
 
"Apakah yang ada dalam lengan jubahmu ya Abu Hurairah?"
 
Maka Abu Hurairah r.a hanya menjawab, "Ianya seekor kucing" (saya tak ingat, kucing ke anak kucing). Tapi lebih kurang begitulah dialognya.
 
Dan Nabi SAW tak pernah mengeluarkan mana-mana hadith dalam melarang perbuatan Abu Hurairah itu, bahkan siap diberikan nama gelaran "Abu Hurairah" yang bermaksud bapa kucing.
 
So, apa lagi alasan untuk bersikap tidak prihatin tatkala melihat kucing-kucing terbiar yang kelaparan di merata-rata tempat?
 
Bayangkan, Abu Hurairah yang asalnya papa dan dhaif itu pun boleh berusaha memberi makan kepada kucing-kucing terbiar yang dijumpainya serta merawatnya, maka apa pula alasan kita untuk bersikap zalim atau tidak mengendahkan rintihan si comel yang kelaparan ini?
 
Nasihat saya, agih-agihkanlah rezeki tu. Sedekah untuk masjid, sedekah untuk fakir miskin dan sedekah juga untuk haiwan-haiwan terbiar seperti kucing ini. Janganlah kemut sangat. Janganlah kedekut sangat. Ipad harga tiga empat ribu boleh beli, tapi nak laburkan barang seratus ringgit untuk sedekah, kemain berkira memasing.
 
 
Saya tak kata semua. Sebab saya tahu, ramai je yang berhati mulia seperti yang saya inginkan, namun jumlahnya masih terlalu sedikit jika nak dibandingkan dengan warga Amerika yang boleh dikatakan majoriti masyarakatnya, daripada kanak-kanak, remaja, dewasa sehinggalah kepada orang tua, majoritinya bersikap amat prihatin terhadap haiwan.
 
Jadi, tolonglah ubah sikap ok?
 
Saya doakan dan berharap sangat lepas ni kalau saya ke mana-mana di Malaysia ni, lebih ramai lagi yang akan berubah dan menjadi prihatin terhadap nasib haiwan yang comel ini.
 
Fikirlah, untuk apa 'mereka' ini diciptakan dengan rupa yang sebegitu comel, mengiau-ngiau dan berlegar-legar sekeliling kita? Kenapa Allah SWT tak letak mereka ini dalam hutan dan cari makan sendiri? Ada otak, boleh fikir, kan?
 
Sebabnya Allah SWT sengaja letak kucing ni di tengah-tengah kehidupan manusia sebab nak uji kita semua, nak uji iman kita semua, adakah kita ni benar-benar faham apa yang dimaksudkan IHSAN itu, dan apakah kita ni sedar yang mana kehidupan kita di dunia ini bukan untuk manusia saja, sebaliknya adalah suatu kehidupan yang WAJIB dikongsi bersama, termasuk berkongsi bersama haiwan seperti kucing!
 
Got it?
 
(^_^)



~ieza~ blog suka-suka

13 Sept 2012

Sally Kirim Salam kat Semua!!! (^_^)

Dah lama sangat tak update pasal Sally, kan?
Walhal Sally ni sejak belai dia dari pertengahan tahun lepas, dah berkilo-kilo berat badan dia naik...
Alhamdulillah, sihat Sally di bawah jagaan makcik ieza dia.... Hehehe...
 
Hmmm... terfikir nak letak Sally dalam Youtube macam Sally lama... Sally 2 dulu...
Sally ni belum glamour macam Sally 2 si idong itam tuh...
 
InsyaAllah, Sally 3 akan beraksi di Youtube jugak...
Sally 3 yang special pasal cuma ada 3 kaki...
 
Caaayaaaanggggggggggggg Cellyyyyyyyy.... mwaaah!
 
 
~ieza~ blog suka-suka

4 Jun 2011

Hati masih sayu dengan pemergian Sally, namun.....

Mulai saat ini, saya akan menukar kata ganti nama diri pertama daripada 'kita' kepada 'saya'. Saya terpaksa melakukan ini kerana saya tidak mahu perasaan sedih dan hiba terus menggigit tangkai hati. Jika korang masih ingat, maksud kata ganti diri 'kita' merujuk kepada diri saya, Sally dan anak-anak Sally. Namun kini, 'kita' tidak lagi diperlukan dalam penulisan blog ini memandangkan Sally sudah kembali ke alam abadi dan anak-anak Sally telah bersama penjaga baru masing-masing. Rujuk sini kalau korang lupa. Apa pun, saya benar-benar berharap moga anak-anak Sally mendapat penjaga setara saya atau lebih baik dari saya, insyaAllah, aaamiiiinn!

Walaupun Sally telah tiada,
Meskipun hati masih walang,
Biar pun duka masih segar di dada ini,
Namun demi blog ini, saya kuatkan semangat untuk terus menaip di sini.

Ini blog saya dan Sally.
Jadi saya tak mahu blog ini mati meskipun Sally telah tiada di dunia ini.
Dan kalau Sally masih hidup pun, mesti Sally tak mahu blognya ini dibiarkan sepi tanpa sebarang entry.

Bagi korang yang kurang mengerti, pasti korang akan fikir saya ini 'entah hapa-hapa', kan?
Pasti korang kata macam nie...

"Ek ellee... ntah hape-hape je dia nie, pasal kucing mati pon nak nangis nak sedih bagai..."

Atau apa-apa ayat yang sewaktu dengannya.

Takpelah. Saya tak marah pun. Itu hak korang. Lain manusia lain ragam.

Namun bagi pencinta kucing seperti saya, seperti budak ni, dan korang-korang si pencinta kucing di luar sana, hanya korang saja yang akan mengerti dan memahami perasaan saya di kala ini.

Jujur saya nyatakan, hingga ke saat ini, air mata saya masih tak berhenti menitis bila teringat segala memori saya bersama Sally, khasnya segala aksi comel dan telatah lucunya di dalam rumah ini semasa hayatnya.

Malah, apa-apa hal yang berkaitan dengan Sally, pasti hati saya akan menjadi sebak tatkala mengenangkannya.

Contohnya, malam semalam semasa saya mengemas handbag dan memasukkan duit gaji ke dalam wallet, tiba-tiba saya terjumpa secebis kertas yang terselit di dalamnya. Tertera di atas kertas itu - Spay Sally - RM100. Saat terpegang saja kertas itu, air mata sudah kembali berlinang. Ternyata hajat saya tak kesampaian untuk mengkasi Sally. Malah, impian saya untuk menjadikan Sally salah seekor kucing comel yang popular di kalangan blog pencinta kucing juga hanya tinggal impian.

Sebenarnya, saya memang boleh redha dan terima hakikat bahawa Sally dah tiada. Kalau dah memang ajalnya, saya akur. Siapalah saya untuk menghalang kematian Sally. Sedangkan saya jua akan pergi suatu ketika nanti apabila tiba masanya.

Namun apa yang menyebabkan saya berasa amat sedih dengan kematian Sally ialah cara kematiannya.

Saya dapat bayangkan saat-saat Sally menderita sakit paru-paru dan Sally mengalami derita itu sepenuhnya tanpa saya di sisi. Sedangkan saya sedar dan tahu, sebagai seekor kucing yang manja dan tak biasa dikurung, tentu Sally tak biasa dengan penjaganya, seterusnya tak selesa bersama penjaga tersebut, yang akhirnya menyebabkan Sally mula berasa dirinya sudah tidak disayangi dan tidak diperlukan lantaran dia tidak lagi melihat saya setiap hari seperti sebelumnya. Dan, berkemungkinan besar Sally mula merajuk dan tidak mahu makan, lantas akhirnya menyebabkan sakit paru-paru mula menyerangnya dan akhirnya Sally menghembuskan nafasnya yang terakhir tanpa saya di sisi.

Inilah yang amat saya kesalkan!

Dan saya juga amat-amat terkilan kerana penjaga itu langsung tidak menghubungi saya untuk memaklumkan keadaan Sally dengan alasan tiada nombor telefon saya. Saya berasa amat marah dan geram dengan penjelasannya itu. Namun semuanya sudah terlambat. Sally akhirnya pergi jua setelah (mungkin) penat menunggu saya untuk membelainya seperti selalu. Sedangkan sepatutnya di saat-saat kritikal seperti itu, seharusnya saya wajib berada di sisinya dan membelainya setiap masa sehingga nyawanya dijemput Ilahi.

Malangnya, Sally telah melalui saat-saat nazak tanpa saya... tanpa saya di sisi!!!


Cik Lissa - Pusat Jagaan Kucing, Kepong
Saya takkan percayakan kamu lagi!


Bila mengenangkan semua ini, dan membayangkan betapa seksanya Sally menderita sakit paru-parunya tanpa saya (insan yang menyanyanginya sepenuh hati), saya tak mampu melawan kesedihan lantaran semua ini salah saya kerana terlalu mempercayai penjaga itu dan langsung tidak menghubunginya. Sepatutnya, saya wajar menghubunginya selang 2-3 hari untuk mengetahui perkembangan Sally. Dan sebenarnya memang pernah terlintas di hati saya  untuk SMS penjaga itu semasa minggu pertama saya menghantar Sally, namun niat itu sering saya tangguh kerana berasa amat yakin Sally akan selamat di bawah jagaan penjaga itu. Sehingga akhirnya, saya hanya mengetahui berita kematian Sally setelah dua minggu pemergiannya!



Ajal Sally tiada siapa boleh halang,
namun pemergiaannya disebabkan kelalaian & ketidakpekaan saya...
saya menyesal & terkilan!


Perkara dah berlaku. Nak tak nak saya kena terima dan redha. Semua ini pastinya akan menjadi kenangan yang tidak akan saya lupakan sepanjang hayat saya dan pastinya akan menjadi iktibar buat diri saya.

Dahlah. Lupakan segala kesedihan ini. Sekiranya Allah izinkan, saya memang ingin sekali bertemu dengan Sally di akhirat kelak. Tapi, mungkinkah? Entahlah. Memang mustahil menurut hukum dan syari'at namun di sini saya serahkan segala-galanya kepada ketentuan Ilahi.


**********

Dalam kesedihan ini, sebenarnya saya telah membawa pulang seekor anak kucing betina yang saya jumpa di pasar di hari saya mendapat berita tentang kematian Sally.

Anak kucing betina ini telah saya kenal hampir sebulan. Ini kerana tapak meniaga saya selalu dilawati kucing ini dan saya juga selalu melayannya dan memberinya makan (di samping dapat mengurangkan beban rindu saya terhadap Sally pada ketika itu dan di tapak pasar ini jugalah saya bertemu dengan Sally!)

Namun apa yang membuatkan saya berasa amat terkejut, anak kucing betina yang sebelum ini amat lincah dan sentiasa menyahut panggilan saya, hari itu telah datang ke arah saya dengan kaki yang tempang. Rupa-rupanya kaki belakang sebelah kirinya telah patah dan tulang (sendi engselnya) telah terkeluar. Rasanya telah dilanggar motor atau kereta!

Kalaulah korang boleh bayangkan perasaan saya pada masa itu.
Dahlah baru lepas dapat berita tentang kematian Sally, pergi pasar pulak, kucing yang selalu dibuat peneman senda gurau telah patah sebelah kakinya.

Agak-agak korang boleh bayangkan tak, apa yang saya dah alami hari itu?

Sedih. Sayu. Pilu. Terharu.

Hari itu saya melayan pelanggan dengan layanan yang amat-amat separuh hati.
Mintak maaf pada akak-akak dan abang-abang serta adik-adik yang menyapa, saya sedar wajah saya langsung tak ceria tetapi saya tak mampu menutup kesedihan itu, namun untuk bercerita pula adalah mustahil kerana saya sedar tak semua orang dapat memahami apa yang saya rasa. Hanya pencinta kucing seperti saya saja yang dapat memahami perasaan saya pada masa itu.

Saya bertekad.

Malam itu, saya bawa kucing malang itu pulang ke rumah.
Sampai rumah, si ibu dah mula bising. Saya diam saja. Biarlah. Ibu tak faham perasaan saya.

Esoknya, terus saya bawa si kucing malang itu ke klinik haiwan di Kelana Jaya. Kata doktor, budak comel ni terpaksa dipotong kakinya sebab luka itu dah beberapa hari terdedah dan dikhuatiri kuman telah merebak di dalamnya. Tambahan pula, adalah amat mustahil untuk menyambung semula sendi engsel yang telah hilang tisu dan telah lari kedudukan tulangnya. Malah, kulit yang menyalutnya juga telah terkoyak habis.

Korang tengoklah sendiri wajah comel si kucing malang ini dan kecederaan yang dialaminya.












So pagi semalam (Jumaat), atas nasihat doktor tadi, saya telah membawa kucing ini ke Klinik Veterinar di Shah Alam untuk pembedahan pemotongan kaki. Saya bertekad untuk menyelamatkan kucing ini (sebab saya tak mahu rasa bersalah lagi seperti rasa bersalah saya pada Sally sebelum ini!)

Setelah mendapat kata sepakat dan bersetuju dengan caj bayaran yang dikenakan, akhirnya malam tadi kucing comel itu telah selamat menjalani pembedahan dan insyaAllah esok pagi saya akan mengambilnya.

Dan sewaktu mengisi borang butir-butir si kucing malang itu semalam, saya telah meletakkan 'Sally' sebagai namanya.

Ya. Ini Sally saya yang ketiga. Dua ekor Sally sebelum ini telah selamat pergi dan sekarang saya mempunyai Sally yang ketiga.

Meskipun begitu, Sally pertama telah menjadi kenangan lama. Dan Sally kedua yang baru saja pergi, wajah comelnya mustahil untuk saya lupa, bahkan sehingga kini, semua aksi dan telatah lucunya masih segar dalam ingatan. Pada saya, Sally kedua ini tiada pengganti kerana dia mempunyai keistimewaan tersendiri. Paling utama, Sally yang baru saja pergi ini adalah Sally yang tercomel kerana tompok hitam di tengah-tengah hidungnya di samping bulunya yang panjang, putih bersih serta ekornya yang lurus. Sukar untuk saya mencari pengganti sepertinya lagi selepas ini. Jika ada pun, tidak akan sama. Sally kedua ini memang amat istimewa di hati ini!

Dan Sally yang ketiga yang masih berada di wad saat ini, inilah kucing OKU pertama yang bakal saya pelihara. Pastilah saya akan melayannya dengan lebih lembut lagi memandangkan keadaan fizikalnya yang telah kehilangan sebelah kaki. Doakan saya agar mampu menjaga dan menyanyanginya seikhlas hati!
Kalau korang lupa sejarah nama Sally pada kucing-kucing saya, korang boleh rujuk sini.

Pesan saya, buat baiklah sesama makhluk dan sekiranya korang tanpa sengaja telah melanggarnya, khasnya kucing, maka berhentilah dan bertanggungjawablah atas apa yang telah terjadi. Jangan ingat dengan melarikan diri, korang akan selamat. Tidak. Ini kerana Nabi SAW sendiri mengatakan kucing adalah haiwan manja dan jinak dan ia tidak najis kerana ia haiwan (peliharaan) yang selalu berkeliaran di sekeliling rumah.

Fikir-fikirkan dan renung-renungkan!

Looking for gifts for birthday, wedding, anniversary etc? PitaPata Cat tickers



26 Jan 2011

Ingin Pelihara Kucing-kucing Terbiar

Salam meoww meoww semua...

Hari ni macam biasa, aku jalani rutin harian yang (insyaAllah) takkan berubah dalam waktu terdekat ni. Dan Sally aku, iaitu kucing kesayanganku semakin besar perutnya. Aku rasa dalam waktu terdekat ini, kucing kecintaan aku tu akan beranak dalam tempoh tak sampai sebulan lagi. Harap-harap biarlah dia beranak time aku ada kat rumah. Kalau tak, haru jadinya nantik.

Aku nak tanya korang yang minat kucing macam aku ni;

Adakah korang mengalami perasaan sama seperti yang aku rasa?

Ok aku jelaskan apa yang aku rasa tentang perasaan aku terhadap haiwan kesayangan Rasulullah ni.

1. Setiap kali balik kerja, badan yang letih dan penat akan hilang sedikit demi sedikit bila sampai je kat rumah, kucing kesayangan dah sambut aku dengan ngauman meowww dia yang panjang. Pastu dia buat aksi nak cakar-cakar kandang sebab tak sabar-sabar nak keluar. Sungguh, aku sungguh terhibur tatkala melihat aksinya itu meskipun dalam masa yang sama ada kalanya bau 'hasil buangannya' agak menusuk lubang hidung. Hahaha..

2. Aku tak pernah letih atau malas atau bosan melayan karenah kucing aku tu meskipun badan aku penat ke, tengah marah ke, malah acap kali marah aku akan hilang tiap kali aku tengok kucing kesayangan aku tu. Terapi yang bagus, kan? :)

3. Aku amat tersentuh dan selalu je nak nangis(pernah nangis pun) setiap kali aku memandu kat memana jalan, aku ternampak kucing kena langgar. Hati aku memang amat-amat tersentuh. Kalau ikut hati, aku memang nak berhenti nak tanam kucing-kucing tu semua, tapi macam mana? Nak mampus ke berhenti kat tengah-tengah jalan raya yang sesak. Huhu... :(

4. Lagi satu kes tersentuh. Aku memang amat tersentuh bila terjumpa kucing-kucing yang mengiau kat aku, lapar nak makan. Sekarang ni aku memang spare part satu tong besar biskut kucing yang kering tu untuk mana-mana kucing yang aku jumpa kat luar. Malah kat area rumah aku ni aku dah ada seekor kucing yang dah cam muka aku untuk mintak makan, selain beberapa ekor lagi yang aku akan bagi makan sekali sekala. Aku tak kisah orang nak kata apa. Yang penting aku dapat bagi kucing-kucing tu makan sebab aku paham mereka lapar. Bayangkan korang lapar, macam mana perasaan korang? Dan aku pernah satu hari tu (kes dah lama dah), aku takda bawak duit, kurang RM5 dalam wallet aku. Tup tup ada seekor anak kucing ni dok ngiau-ngiau kat kaki aku, aku tak sampai hati nak lari macam tu je sebab aku paham perasaan dia. Dia lapar, nak makan. So duit yang aku niat nak beli makanan aku pada awalnya aku pi beli seekor ikan goreng berharga RM3 semata-mata untuk anak kucing tadi. Dan hatiku puas bila tengok dia makan dengan lahapnya.
Dalam hati aku just cakap, "Takpalah, aku makan kat rumah jela karang,"  Hehe... :-)

5. Setiap kali aku balik kerja, memang rutin aku akan bersihkan kandang Sally dan basuh kaki tangan montot Sally sebab dia sure berkubang ngan najis kat dalam sangkar tadi kan. So aku kena bersihkan dia dulu sebelum aku dapat gomol-gomol dia peluk cium dia... Hahaha... Pastu mak aku mesti akan tanya... "Sampai bila ko larat buat semua ni, dik?" Aku just jawab..."Sampai bila-bila"... Walhal dalam hati aku nak je cakap "Sampai adik mati atau pun Sally mati" Tapi macam kurang ajar pulak bunyinya. Dalam rumah aku, mak ayah aku memang tak berapa berkenan aku bela Sally ni. Alasan mereka, rumah akan busuk. Ye, aku paham. Tapi sampai bila aku nak kena tahan keinginan aku untuk ada kucing sendiri? Kalau dulu, aku asyik tumpang peluk kucing orang je. Tak puas! Dan sekarang mereka terpaksa terima Sally sebab dah tak boleh larang aku yang sememangnya takkan boleh berenggang dengan kucing! :-P

6. Korang ada niat tak yang mana bila korang dah senang (ada harta sikit) satu hari nantik, korang terdetik nak buat satu 'rumah kebajikan' untuk kucing-kucing terbiar. Pernah tak? Aku memang dah lama angan-angan macam tu. Sejak kecik lagi. Dan insyaAllah, jika diberi rezeki yang lebih kelak, aku akan realisasikan impian aku tu. Malah aku jugak bercadang nak buat 'Mini Zoo' yang menempatkan haiwan-haiwan terbiar.
Ok tak cadangan aku ni? :)

Korang rasa aku ni gila ke? Gila kucing? Entahlah. Tapi apa yang pasti, buat masa ni aku memang tak boleh tengok kucing terbiar lapar nak makan, kucing terbiar kena langgar, anak kucing mati kecik-kecik sebab takda orang nak jaga dan seumpama dengannya. Dan ramai orang yang pelik bila tengok aku bagi makan kat mana-mana kucing yang aku jumpa lapar nak makan, terutamanya orang area rumah aku ni. Lantaklah. Aku tak kisah mereka nak kata apa. Yang penting hati aku puas bila tengok kucing-kucing tu makan dengan berselera hasil pemberian aku yang tak seberapa ni. Eh, jangan kata ini satu kerja membazir, ok? Kucing tu makhluk Allah, sama macam kita. Bezanya kita ni berakal, kena jadi khalifah. Kucing just makhluk yang hanya mengikuti tabiat kucing yang dah Allah atur dalam naluri kehaiwanan dia. Tapi haiwan tiada dosa sebab depa tak berakal, jadi, haiwan ni makhluk yang suci sebab takda dosa. Betul tak?

Huhu, tak perasan pulak Sally aku ni dah nyenyak tidur.
Hmmmm oklah. Aku pun nak tidur gak. Nak tidur sebelah dia...
Hahaha... Papai...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Perhatian!

***Kepada korang-korang yang dah follow blog kita, kita ucapkan jutaan terima kasih dan sebagai membalas budi, sila tinggalkan alamat URL blog korang di Kotak Cakaran untuk kita follow balik. TQ!
***Semua kandungan blog ini adalah milik blogger sepenuhnya dan semua idea dan penulisan terilham dengan spontan dan boleh jadi ianya muktamad atau boleh jadi ianya boleh berubah. Harap maklum!

Tentang Blogger

Ieza Hafizah cuma seorang manusia biasa macam korang jugak. Sebelum ini bekerja sebagai Pereka Grafik (percetakan) serta QC cum Admin dalam bidang percetakan, tetapi sebelum tu pernah menyandang jawatan sebagai Plate Maker untuk seketika. Namun disebabkan bakat dan minatnya telah terarah untuk menjadi seorang peniaga, kini Ieza Hafizah bekerja sepenuh masa untuk perniagaan kecil-kecilan milik keluarga. Cita-citanya moga satu hari nanti, beliau dapat membuka sebuah perniagaan miliknya sendiri, seterusnya merealisasikan impiannya untuk meramaikan lagi usahawan Melayu Islam di Malaysia ini, insyaAllah!