Duit Belanja Sally

16 Jun 2011

Lama dah tak update blog.
Lama dah tak jenguk blog rakan meoww meoww & rakan lelain.
Lama dah tak mencakar sana sini.

Bukan tak rindu. Rindu. Rindu sesangat.
Khasnya rindu giler dengan semua gang Sally...
Rindu kat Iyo (Hero), Lion, Momon, Abg Madan,  Tam Tam, Gebu, Mieko...
Obi, Chitam, Moja, Chiku , Bobo, Indi, Bubu, Rimba, dll.
(Maaf tak larat nak tulis semua. So jangan ada yg kecil hati, ok? :))

Keadaan sekarang agak kacau bilau.
Ibarat dah jatuh ditimpa tangga.
Ayah masih sakit. Masih ikhtiar berubat. InsyaAllah takkan putus asa.
Pastu bebaru ni dapat berita nenek pulak sakit kat kampung.
Najis berdarah. Demam. Semua sanak saudara yang terhampir dah berkumpul.
Entahlah. Memang dugaan bertimpa-timpa.
Tapi saya sekeluarga sedapat mungkin cuba baik sangka.
Bersabar dan redha. InsyaAllah.
Habis tu, apa lagi kami boleh buat selain bersabar, kan?

Dan petang tadi saudara jauh (pangkat atok) dah kembali ke rahmatullah.
Al-Fatihah untuk Allahyarham.
Namun pemergiannya kami tak ralat sebab memang dah masanya.
Sakit tua. 90 tahun.
Moga Allah mengampunkan segala dosa-dosanya, Aaamiiiin!

Sally pulak lepas selamat potong kaki, terus demam selsema dah seminggu...
Dan sampai skrg tak kebah lagi.
Ubat dari vet dah nak habis.
Cara tradisional pun masih tak berapa mujarab.
Mungkin belum lagi kot... (husnu zon)
InsyaAllah lusa bawak jumpa vet utk bukak jahitan...
Sekalian mintak ubat selsema lagi... huhuhu...

Sekali lagi, doakan yang terbaik buat kami semua.
Moga segala dugaan ini akan segera berlalu, mudah-mudahan.
TYVM sebab sudi baca luahan saya yang tak habis-habis nie.

I'm sorry. (sila baca versi Amir Raja Lawak). :p



Looking for gifts for birthday, wedding, anniversary etc? PitaPata Cat tickers

4 Jun 2011

Hati masih sayu dengan pemergian Sally, namun.....

Mulai saat ini, saya akan menukar kata ganti nama diri pertama daripada 'kita' kepada 'saya'. Saya terpaksa melakukan ini kerana saya tidak mahu perasaan sedih dan hiba terus menggigit tangkai hati. Jika korang masih ingat, maksud kata ganti diri 'kita' merujuk kepada diri saya, Sally dan anak-anak Sally. Namun kini, 'kita' tidak lagi diperlukan dalam penulisan blog ini memandangkan Sally sudah kembali ke alam abadi dan anak-anak Sally telah bersama penjaga baru masing-masing. Rujuk sini kalau korang lupa. Apa pun, saya benar-benar berharap moga anak-anak Sally mendapat penjaga setara saya atau lebih baik dari saya, insyaAllah, aaamiiiinn!

Walaupun Sally telah tiada,
Meskipun hati masih walang,
Biar pun duka masih segar di dada ini,
Namun demi blog ini, saya kuatkan semangat untuk terus menaip di sini.

Ini blog saya dan Sally.
Jadi saya tak mahu blog ini mati meskipun Sally telah tiada di dunia ini.
Dan kalau Sally masih hidup pun, mesti Sally tak mahu blognya ini dibiarkan sepi tanpa sebarang entry.

Bagi korang yang kurang mengerti, pasti korang akan fikir saya ini 'entah hapa-hapa', kan?
Pasti korang kata macam nie...

"Ek ellee... ntah hape-hape je dia nie, pasal kucing mati pon nak nangis nak sedih bagai..."

Atau apa-apa ayat yang sewaktu dengannya.

Takpelah. Saya tak marah pun. Itu hak korang. Lain manusia lain ragam.

Namun bagi pencinta kucing seperti saya, seperti budak ni, dan korang-korang si pencinta kucing di luar sana, hanya korang saja yang akan mengerti dan memahami perasaan saya di kala ini.

Jujur saya nyatakan, hingga ke saat ini, air mata saya masih tak berhenti menitis bila teringat segala memori saya bersama Sally, khasnya segala aksi comel dan telatah lucunya di dalam rumah ini semasa hayatnya.

Malah, apa-apa hal yang berkaitan dengan Sally, pasti hati saya akan menjadi sebak tatkala mengenangkannya.

Contohnya, malam semalam semasa saya mengemas handbag dan memasukkan duit gaji ke dalam wallet, tiba-tiba saya terjumpa secebis kertas yang terselit di dalamnya. Tertera di atas kertas itu - Spay Sally - RM100. Saat terpegang saja kertas itu, air mata sudah kembali berlinang. Ternyata hajat saya tak kesampaian untuk mengkasi Sally. Malah, impian saya untuk menjadikan Sally salah seekor kucing comel yang popular di kalangan blog pencinta kucing juga hanya tinggal impian.

Sebenarnya, saya memang boleh redha dan terima hakikat bahawa Sally dah tiada. Kalau dah memang ajalnya, saya akur. Siapalah saya untuk menghalang kematian Sally. Sedangkan saya jua akan pergi suatu ketika nanti apabila tiba masanya.

Namun apa yang menyebabkan saya berasa amat sedih dengan kematian Sally ialah cara kematiannya.

Saya dapat bayangkan saat-saat Sally menderita sakit paru-paru dan Sally mengalami derita itu sepenuhnya tanpa saya di sisi. Sedangkan saya sedar dan tahu, sebagai seekor kucing yang manja dan tak biasa dikurung, tentu Sally tak biasa dengan penjaganya, seterusnya tak selesa bersama penjaga tersebut, yang akhirnya menyebabkan Sally mula berasa dirinya sudah tidak disayangi dan tidak diperlukan lantaran dia tidak lagi melihat saya setiap hari seperti sebelumnya. Dan, berkemungkinan besar Sally mula merajuk dan tidak mahu makan, lantas akhirnya menyebabkan sakit paru-paru mula menyerangnya dan akhirnya Sally menghembuskan nafasnya yang terakhir tanpa saya di sisi.

Inilah yang amat saya kesalkan!

Dan saya juga amat-amat terkilan kerana penjaga itu langsung tidak menghubungi saya untuk memaklumkan keadaan Sally dengan alasan tiada nombor telefon saya. Saya berasa amat marah dan geram dengan penjelasannya itu. Namun semuanya sudah terlambat. Sally akhirnya pergi jua setelah (mungkin) penat menunggu saya untuk membelainya seperti selalu. Sedangkan sepatutnya di saat-saat kritikal seperti itu, seharusnya saya wajib berada di sisinya dan membelainya setiap masa sehingga nyawanya dijemput Ilahi.

Malangnya, Sally telah melalui saat-saat nazak tanpa saya... tanpa saya di sisi!!!


Cik Lissa - Pusat Jagaan Kucing, Kepong
Saya takkan percayakan kamu lagi!


Bila mengenangkan semua ini, dan membayangkan betapa seksanya Sally menderita sakit paru-parunya tanpa saya (insan yang menyanyanginya sepenuh hati), saya tak mampu melawan kesedihan lantaran semua ini salah saya kerana terlalu mempercayai penjaga itu dan langsung tidak menghubunginya. Sepatutnya, saya wajar menghubunginya selang 2-3 hari untuk mengetahui perkembangan Sally. Dan sebenarnya memang pernah terlintas di hati saya  untuk SMS penjaga itu semasa minggu pertama saya menghantar Sally, namun niat itu sering saya tangguh kerana berasa amat yakin Sally akan selamat di bawah jagaan penjaga itu. Sehingga akhirnya, saya hanya mengetahui berita kematian Sally setelah dua minggu pemergiannya!



Ajal Sally tiada siapa boleh halang,
namun pemergiaannya disebabkan kelalaian & ketidakpekaan saya...
saya menyesal & terkilan!


Perkara dah berlaku. Nak tak nak saya kena terima dan redha. Semua ini pastinya akan menjadi kenangan yang tidak akan saya lupakan sepanjang hayat saya dan pastinya akan menjadi iktibar buat diri saya.

Dahlah. Lupakan segala kesedihan ini. Sekiranya Allah izinkan, saya memang ingin sekali bertemu dengan Sally di akhirat kelak. Tapi, mungkinkah? Entahlah. Memang mustahil menurut hukum dan syari'at namun di sini saya serahkan segala-galanya kepada ketentuan Ilahi.


**********

Dalam kesedihan ini, sebenarnya saya telah membawa pulang seekor anak kucing betina yang saya jumpa di pasar di hari saya mendapat berita tentang kematian Sally.

Anak kucing betina ini telah saya kenal hampir sebulan. Ini kerana tapak meniaga saya selalu dilawati kucing ini dan saya juga selalu melayannya dan memberinya makan (di samping dapat mengurangkan beban rindu saya terhadap Sally pada ketika itu dan di tapak pasar ini jugalah saya bertemu dengan Sally!)

Namun apa yang membuatkan saya berasa amat terkejut, anak kucing betina yang sebelum ini amat lincah dan sentiasa menyahut panggilan saya, hari itu telah datang ke arah saya dengan kaki yang tempang. Rupa-rupanya kaki belakang sebelah kirinya telah patah dan tulang (sendi engselnya) telah terkeluar. Rasanya telah dilanggar motor atau kereta!

Kalaulah korang boleh bayangkan perasaan saya pada masa itu.
Dahlah baru lepas dapat berita tentang kematian Sally, pergi pasar pulak, kucing yang selalu dibuat peneman senda gurau telah patah sebelah kakinya.

Agak-agak korang boleh bayangkan tak, apa yang saya dah alami hari itu?

Sedih. Sayu. Pilu. Terharu.

Hari itu saya melayan pelanggan dengan layanan yang amat-amat separuh hati.
Mintak maaf pada akak-akak dan abang-abang serta adik-adik yang menyapa, saya sedar wajah saya langsung tak ceria tetapi saya tak mampu menutup kesedihan itu, namun untuk bercerita pula adalah mustahil kerana saya sedar tak semua orang dapat memahami apa yang saya rasa. Hanya pencinta kucing seperti saya saja yang dapat memahami perasaan saya pada masa itu.

Saya bertekad.

Malam itu, saya bawa kucing malang itu pulang ke rumah.
Sampai rumah, si ibu dah mula bising. Saya diam saja. Biarlah. Ibu tak faham perasaan saya.

Esoknya, terus saya bawa si kucing malang itu ke klinik haiwan di Kelana Jaya. Kata doktor, budak comel ni terpaksa dipotong kakinya sebab luka itu dah beberapa hari terdedah dan dikhuatiri kuman telah merebak di dalamnya. Tambahan pula, adalah amat mustahil untuk menyambung semula sendi engsel yang telah hilang tisu dan telah lari kedudukan tulangnya. Malah, kulit yang menyalutnya juga telah terkoyak habis.

Korang tengoklah sendiri wajah comel si kucing malang ini dan kecederaan yang dialaminya.












So pagi semalam (Jumaat), atas nasihat doktor tadi, saya telah membawa kucing ini ke Klinik Veterinar di Shah Alam untuk pembedahan pemotongan kaki. Saya bertekad untuk menyelamatkan kucing ini (sebab saya tak mahu rasa bersalah lagi seperti rasa bersalah saya pada Sally sebelum ini!)

Setelah mendapat kata sepakat dan bersetuju dengan caj bayaran yang dikenakan, akhirnya malam tadi kucing comel itu telah selamat menjalani pembedahan dan insyaAllah esok pagi saya akan mengambilnya.

Dan sewaktu mengisi borang butir-butir si kucing malang itu semalam, saya telah meletakkan 'Sally' sebagai namanya.

Ya. Ini Sally saya yang ketiga. Dua ekor Sally sebelum ini telah selamat pergi dan sekarang saya mempunyai Sally yang ketiga.

Meskipun begitu, Sally pertama telah menjadi kenangan lama. Dan Sally kedua yang baru saja pergi, wajah comelnya mustahil untuk saya lupa, bahkan sehingga kini, semua aksi dan telatah lucunya masih segar dalam ingatan. Pada saya, Sally kedua ini tiada pengganti kerana dia mempunyai keistimewaan tersendiri. Paling utama, Sally yang baru saja pergi ini adalah Sally yang tercomel kerana tompok hitam di tengah-tengah hidungnya di samping bulunya yang panjang, putih bersih serta ekornya yang lurus. Sukar untuk saya mencari pengganti sepertinya lagi selepas ini. Jika ada pun, tidak akan sama. Sally kedua ini memang amat istimewa di hati ini!

Dan Sally yang ketiga yang masih berada di wad saat ini, inilah kucing OKU pertama yang bakal saya pelihara. Pastilah saya akan melayannya dengan lebih lembut lagi memandangkan keadaan fizikalnya yang telah kehilangan sebelah kaki. Doakan saya agar mampu menjaga dan menyanyanginya seikhlas hati!
Kalau korang lupa sejarah nama Sally pada kucing-kucing saya, korang boleh rujuk sini.

Pesan saya, buat baiklah sesama makhluk dan sekiranya korang tanpa sengaja telah melanggarnya, khasnya kucing, maka berhentilah dan bertanggungjawablah atas apa yang telah terjadi. Jangan ingat dengan melarikan diri, korang akan selamat. Tidak. Ini kerana Nabi SAW sendiri mengatakan kucing adalah haiwan manja dan jinak dan ia tidak najis kerana ia haiwan (peliharaan) yang selalu berkeliaran di sekeliling rumah.

Fikir-fikirkan dan renung-renungkan!

Looking for gifts for birthday, wedding, anniversary etc? PitaPata Cat tickers



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Perhatian!

***Kepada korang-korang yang dah follow blog kita, kita ucapkan jutaan terima kasih dan sebagai membalas budi, sila tinggalkan alamat URL blog korang di Kotak Cakaran untuk kita follow balik. TQ!
***Semua kandungan blog ini adalah milik blogger sepenuhnya dan semua idea dan penulisan terilham dengan spontan dan boleh jadi ianya muktamad atau boleh jadi ianya boleh berubah. Harap maklum!

Tentang Blogger

Ieza Hafizah cuma seorang manusia biasa macam korang jugak. Sebelum ini bekerja sebagai Pereka Grafik (percetakan) serta QC cum Admin dalam bidang percetakan, tetapi sebelum tu pernah menyandang jawatan sebagai Plate Maker untuk seketika. Namun disebabkan bakat dan minatnya telah terarah untuk menjadi seorang peniaga, kini Ieza Hafizah bekerja sepenuh masa untuk perniagaan kecil-kecilan milik keluarga. Cita-citanya moga satu hari nanti, beliau dapat membuka sebuah perniagaan miliknya sendiri, seterusnya merealisasikan impiannya untuk meramaikan lagi usahawan Melayu Islam di Malaysia ini, insyaAllah!